Terkini

Salam,

Terima kasih kpd semua yg sudi mengunjungi blog ini.

Saya amat berharap apa saja yang dipamirkan di sini tidak di copy paste/membuat salinan keluar tanpa kebenaran saya melainkan bersama credit sumber asal.

Di sini juga ingin saya maklumkan bahawa ada antara cerita2 bersiri yg telah tamat akan saya publish semula. Mungkin ada sedikit perubahan dan ada juga yang kekal.

Akhir kata, SELAMAT MEMBACA.

Terima kasih.

Jangan tanya aku lagi... :)

Thursday

Hati Emas 7

Seperti selalu Firdaus hanya akan meninggalkan pejabat selepas jam melepasi angka enam. Ketika itu kenderaan sudah sedikit berkurangan jadi dia tidak perlu berebut-rebut serta bersesak-sesak di jalan raya. Lagipun tidak ada apa yang hendak dikejarkan dan tidak ada sesiapa yang menantinya di rumah. Entah mengapa dua tiga hari ni Firdaus merasa sepi. Jiwanya merasa tak tenang dan berantakkan. Jauh di sudut hatinya terselit satu perasaan sayu sukar digambarkan. Jiwanya kosong. Sejenak dia teringatkan seseorang.. ..”Mia di manakah engkau” terucap nama itu di bibir. Firdaus menarik nafas panjang. Sekali lagi dia dihantui perkara silam.

“Sampai bila aku harus begini.. bersendirian” bisik Firdaus dalam hati. Sedikit sebanyak dia mengaku ada betulnya kata Borhan. Seandainya dia masih tidak bertemu Mia, bagaimana? Arghhh.. entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia sering teringatkan Mia, terkenangkan hangatnya sentuhan kasih sayang yang Mia berikan padanya. Cuma tika itu dia saja yang bodoh sengaja buat-buat dan bersikap acuh tak acuh terhadap Mia.

Sejenak Firdaus teringat saat kali pertama bertentang mata dengan Mia Areena. Senyuman itu mana mungkin dia lupakan. Lirikan mata yang memukau serta bentuk fizikal yang tiada cacat celanya membuatkan terlupa langsung dia pada janji yang dibuat kepada Maria, justeru itu Mia dia hampiri dan malam pertamanya bersama Mia tetap terjadi. Sejenak Firdaus tersenyum sendiri. Layanan Mia kepadanya memang tiada kekurangan cuma entah apa yang merasuk dan asakan demi asakan serta pujukan dari Maria akhirnya dia menceraikan Mia Areena biarpun ketika itu usia perkahwinan mereka baru masuk tiga bulan. “Bodohnya aku” ucap Firdaus menyesali diri.

Sejenak bayangan Mia muncul lagi. “Aku rindukan kau Mia” bisik hati Firdaus di mana selain dari di himpit perasaan bersalah.. dia juga amat merindukan semula belaian dari Mia.

-Kau ingat senang dia nak maafkan kau..

-Dia pasti maafkan aku

-Ha ha ha.. dalam mimpilah..

-Aku bukan bermimpi.. aku yakin..

-Kalau kau yakin.. kenapa merasa resah?

-Diam

-Hei! Kenapa kau resah? Sudah empat tahun.. kau takut dia kahwin lain kan? Hahahah.. padan muka kau..

-Diamlah kau..

-Dia tak akan maafkan kau.. kau dah rosakkan hidupnya.. bayangkan Fir..3 bulan je.. lepas tu kau campak dia macam tu saja.. betul-betul tak gunalah kau ni Firdaus...

-Diammmmmm

Firdaus menjerit sekuat hati sambil menekan brek bila suara hatinya silih berganti berbicara. Sejenak dia meraup wajahnya seketika sambil beristighfar. Selepas mendapat sedikit ketenangan Firdaus meneruskan perjalanan.

“Ahh.. tak sempat” rungutnya sendiri bila sekali lagi dia terpaksa menekan brek mengejut kerana lampu isyarat sudah bertukar merah. Firdaus menguatkan sedikit radio. Firdaus mengetuk-ngetuk stereng mengikut rentak alunan lagu. Firdaus membuang pandang ke kanan tiba-tiba...

“Mia..” ucap Firdaus perlahan bila terpandang seraut wajah menyerupai bekas isterinya berada di dalam kenderaan sebelah keretanya. Belumpun sempat apa-apa lampu isyarat sudah bertukar hijau membuatkan terkial-kial Firdaus terpaksa meneruskan perjalanan.

“Miakah itu?” soal Firdaus sendiri. Jiwanya mula tak tenteram. Sejenak terfikir Firdaus untuk menjejaki kereta tersebut.

Tiba-tiba....

Sekali lagi Firdaus membrek keretanya mengejut apabila tanpa dia sedari ada beberapa orang kanak-kanak sedang melintas. Peluh membasahi dirinya tika ini. Nasib baik perkara yang tidak di ingini berlaku, jika tidak mahu kecoh kawasan itu. Belumpun sempat Firdaus keluar untuk bertanya khabar kepada kanak-kanak tersebut, mereka semua sudah berlari pergi. Firdaus menarik nafas seketika menahan perasaan lega. "Miakah tadi" soal hati Firdaus. Sejenak Firdaus memejamkan mata cuba melenyapkan bayangan Mia Areena di minda. Mungkinkah dia hanya berilusi. Selepas mendapat sedikit kekuatan Firdaus menghidupkan semula enjin keretanya dan memulakan pemanduan. “Ahh.. agaknya semua ini khayalan aku saja..” ujar Firdaus sambil tersenyum menggeleng-gelengkan kepala.

Setibanya di rumah.. kereta papa tidak kelihatan. Banglo dua tingkat yang serba mewah itu kelihatan suram dan hening. Firdaus tahu malam ini sekali lagi dia akan makan malam bersendirian. Firdaus mengeluh kecil memikirkan arah hidupnya yang tidak menentu. Di kamar sekali lagi Firdaus di himpit kesepian. Lantas talipon bimbit di capai terus nombor Borhan di cari, namun seketika terlintas difikirannya tentang Borhan yang mungkin sibuk membantu Syila menguruskan anak mereka lalu Firdaus membatalkan niatnya itu.

“Ahhh.. boringnya” Sekali lagi Firdaus mengeluh panjang. “Bahagianya kau Borhan” bisik Firdaus sedikit cemburu dengan sepupunya itu. Sejenak Firdaus meraup wajahnya. “Mia...Kalaulah kita masih lagi bersama..” ucap Firdaus mula berilusi.

“Maafkan aku Mia” bisik hati kecil Firdaus di mana dia tahu semua itu tak mungkin berlaku..
"Ahhh.." keluh Firdaus.. menyesali apa yang telah terjadi

Apa Sebenarnya 2

“I mengganggu?”

“No.”

“Berfikir sesuatu?”

“Yeah!”

“Tentang apa?”

“Banyak perkara”

“Antaranya?”

“Dalilah..”

“Dalilah?.. what’s wrong with her?”

“Nothing.. I just...”

Adam terdiam seketika. Ikram dapat merasakan seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran Adam. Ikram resah menanti butir bicara selanjutnya dari Adam.

“Aku risaukan Dalilah. Hari ni sudah 25 tahun umur dia. Sudah dewasa. Aku pula bukannya semakin muda. Aku teringin melihat dia berumah-tangga sebelum aku menutup mata. Sebenarnya ini adalah antara salah satu sebab aku pulang ke Malaysia“

“Jangan kau risau, Dalilah tu tidak ada apa kurangnya. Cantik, bijak, berkebolehan”

“Itu sudah mesti.. tengoklah siapa daddy dia..” ujar Adam tergelak kecil mendengar pujian Ikram.

“Oh! Ya ka? Sorrylah I tak perasan pun selama ini kelebihan Dalilah turun dari you” seloroh Ikram sambil ketawa.

“Hmmmm… Dalilah sudah berpunya?” hati-hati Ikram melontarkan pertanyaan agar Adam tidak curiga.

“Actually ramai yang minatkan dia tapi..” Adam diam seketika.
“..but, I nak dia bertemu jodoh dengan orang sini.. seorang lelaki dari tempat dia di lahirkan.. sama seperti her mummy” separuh berbisik Adam bersuara meluahkan apa yang tersirat dalam hatinya selama ini.

“You masih ingatkan Nora?” soal Ikram sambil merenung tajam Adam.

“First love Ikram.. mana boleh dapat melupakannya.”

“Walaupun apa yang telah berlaku.. you masih sayangkan dia?”

“Yeah.. dia sentiasa dalam ingatan”

“Walaupun dia sudah berumah-tangga?” duga Ikram perlahan sambil memandang Adam tajam cuba melihat reaksi dari sahabat baiknya itu. Wajah itu kelihatan cukup tenang.

“Cinta dan Kasih sayang perlukan pengorbanan.. “

“Tetapi pengorbanan yang you lakukan terlalu besar.. “

“Besar atau kecil bukan persoalannya Ikram.. tapi sebab musabab pengorbanan itu yang penting.. for me.. asalkan Nora berbahagia itu sudah memadai.. “

"Biarpun betapa dalamnya cinta you kepada dia”

“Perasaan cinta itu tetap terpahat di sini Ikram..“ jelas Adam sambil menepuk-nepuk dada sebelum menyambung kata.. “.. tidak akan hilang perasaan itu.. biarpun orang yang kita cintai tak dapat menjadi milik kita.. Ikram” sayu Adam bersuara membuatkan meruntun naluri hati lelakinya.

“I betul-betul kagum dengan you”

“What do you mean?”

“Maksud I.. You have everything.. kerjaya, rupa, harta.. but why you masih sendiri hingga kini.. tak pernah rasa sunyi?”

“Dengan adanya Dalilah.. mana mungkin I akan sunyi”

“Dia akan pergi meninggalkan you juga satu hari nanti Adam.. dia akan berkahwin”

“Yeah! I know” jawab Adam sambil tersenyum. “Itulah impian I”

“Impian?”

“Yeah! Untuk melihat dia mendapat jodoh yang baik dan hidup bahagia.. sudah cukup untuk I Ikram” sejenak Adam berdiam. “Dan jika berkesempatan I ingin menemukan dia dengan Nora”

“How about Dalilah.. dia tahu segala-galanya?”

“Belum”

“Why?”

“Tak berkesempatan”

“Tak berkesempatan atau alasan”

“Both” jawab Adam tenang.

“Sampai bila you nak merahsiakan darinya?”

“Sebab tu I bawa dia pulang Ikram”

“So.. apa yang you tunggu lagi.. just tell her.. ”

“But...”


“Daddy.. Uncle Ikram”
Laungan dari Dalilah menghentikan sebentar soal menjawab antara Adam dan Ikram.

“Di sini rupanya daddy and Uncle Ikram ye.. puas Li cari” ujar Dalilah sambil duduk lalu melentokkan kepalanya ke paha Adam.

“Kenapa sayang?” soal Adam sambil mengusap-ngusap kepala Dalilah lembut.

Ikram tersenyum memandang telatah dua beranak itu di mana saat ini terserlah sifat kasih sayang yang tiada ternilainya antara ayah dan anak. Sejenak matanya menatap wajah lembut Dalilah. Cukup ayu dan saling tak tumpah seperti Nora. Sekali lagi dia menatap wajah Dalilah.. cukup sempurna malah terserlah sifat-sifat seperti gadis melayu di mana kelembutan suara dan tingkah laku yang sopan cukup ketara.. tiada cacat cela.. lebih-lebih lagi dengan tudung di kepala cukup membanggakan.. sekalung tahniah patut dia ucapkan kepada Adam kerana berjaya membentuk Dalilah sebaik mungkin. Sejenak terselit impiannya untuk menjadikan gadis itu menantu tapi mahukah Irfan?.. arghh.. Ikram merengus sendiri bila teringatkan anak lelakinya itu yang sudah lama tidak pulang.
“Malam ini aku kena bercakap dengan Irfan” bisik hati Ikram. Tidak sabar dia menanti malam.


“Apa lagi abah.. nantilah kita sembang lain”

“Nanti.. nanti.. nanti tu bila?”

“Tunggulah bila Ir balik nanti”

“Bila kamu nak balik?”

“Tengoklah dulu”

“Tengok.. tengok.. Kamu nak tengok apa lagi Irfan?”

“Alahh.. abah ni”

“Irfan.. Irfan.. Bila abah buka mulut.. kamu kata nanti tunggu kamu balik.. tanya bila nak balik.. kamu kata tengok dulu.. susah sungguh kamu nak balik kerumah hah! Irfan?” Ikram berdiam sejenak sambil menarik nafas seketika sebelum menyambung. “Dah lama kamu tak balik Irfan.. baliklah.. mak kamu pun dah rindukan kamu” ujar Ikram cuba berlembut dengan anaknya.

“Ada apa sebenarnya ni bah.. kalut suruh Ir balik ni?” soal Irfan sambil menutup komputernya lalu keluar menuju keruang tamu.

“Kamu ingat lagi Uncle Adam?”

“Uncle Adam..uncle Adam.. “

“Alah.. kawan baik abah waktu belajar kat UK dulu tu.. pernah tinggal kat Malaysia.. takan kamu tak ingat.. lama dia tinggal kat sini.. lagipun waktu tu kamu dah bersekolah rendah sebelum dia pindah balik ke sana.. takan lupa”

“Oh.. kawan abah orang Jerman.. memeluk agama islam tu.. ya ya ingat.. ingat.. kenapa?”

“Dia ada kat sini”

“Kat sini? Maksud abah dia ada kat rumah kita?”

“Ya.. “

“Sebab tu yang abah nak Ir balik sangat-sangat ni?”

“Ya..”

“Alah.. abah.. apa sangkut paut Uncle Adam dengan Ir pulak?.. lagipun minggu ni Ir busy lah bah..”

“Busy dengan budak model tu?”

“Apa abah ni.. “

“Sudah Irfan.. abah tak nak dengar apa-apa alasan.. minggu ni abah nak kamu balik.. titik”

Irfan mengeluh sendiri bila belum sempat dia menyambung kata, abahnya terlebih dahulu mematikan talian. Bingung dia ketika ini lebih-lebih lagi memikirkan apa alasan hendak di berikan kepada Sherry bagi membatalkan temujanji mereka pada hujung minggu. Pasti sedepa muncung gadis itu dan rajuknya pasti berpanjangan. “Sherry! Sherry!” Irfan tersenyum sendiri sambil menyebut nama gadis itu. Mana mungkin dia dapat melupakan gadis bertubuh tinggi lampai dan langsing itu. Dengan senyuman menggoda serta tutur kata yang lembut, gadis itu bisa membuatkan tidurnya tidak lena. Membayangkan itu pantas nombor Sherry didailnya. Namun hampa bila panggilannya memasuki pesanan suara. “Ohhh..” gumamnya sebaik teringatkan jadual pertunjukkan pentas Sherry pada malam ini.

Sekali lagi Irfan mengeluh panjang lalu bangun menuju ke balkoni. Sayup-sayup dari tingkat atas kondonya, Irfan melihat kenderaan yang tidak kenal erti malam bertali arus di jalan raya. Pastinya keadaan ini berbeza bila dia pulang ke kampong hujung minggu ini. “Ahhh.. membosankan.. apalah yang ada kat kampong” rungut Irfan sendiri sambil mengeluh. Penat berdiri di situ Irfan melangkah kaki ke dalam semula. Alat kawalan tv dicapai sambil mencari siaran-siaran yang menarik, namun tidak ada satu pun menarik perhatiannya. Tv ditutup lalu Irfan mengangkat punggung untuk ke kamar. Sejenak langkah kakinya terhenti di kamar sebelah, milik sahabat baiknya, di mana pintu kamar tersebut tidak sempurna ditutup. Sempat Irfan mengintai melihat Tengku Danial yang sedang bersila sambil tersenyum sorang-sorang mengadap komputer riba di atas katil. “Pelik!” detik hatinya lantas Irfan mengetuk pintu tersebut.

“Eh! Ir.. apa berdiri kat situ.. masuklah” pelawa Tengku Danial sambil menolak komputer ribanya ke tepi. “Apa hal? Ko tak boleh tidurke?”

“Ha ah” jawab Irfan sepatah. “Ko buat apa tu?”

“Aku tengah habiskan kerja”

“Kerja?”

“Ha ah”

“Ko jangan dok kelentonglah.. keje apa tersengih sorang-sorang?”

“Ko mengintai ye”

“Siapa suruh ko tak tutup pintu rapat-rapat”

“Ye ke?” balas Tengku Danial tersengih-sengih. “kalau macam tu.. bila ko keluar nanti tolong tutup jap”

“Aik! Menghalau nampak”

“Bukan menghalau.. cuma berpesan” jelas Tengku Danial sambil tergelak kecil.

“Ada apa sebenarnya ni Ir..?” soal Tengku Danial bila melihat wajah Irfan yang muram.

“Sorrylah aku mengganggu ko buat kerja” ujar Irfan tanpa menjawab pertanyaan Tengku Danial sebaliknya perasaan bersalah menguasai dirinya bila melihat rakannya itu seperti menggelisah bila sekejap-sekejap memandang ke arah komputer riba.


“Tak.. ko langsung tak mengganggu.. lagipun apa yang aku tunggu tak kunjung tiba.. “

“Ko tunggu apa?”

“Arghhh.. lupakanlah..” jawab Tengku Danial dengan nada suara yang hampa.

“Sebenarnya aku bingung..” sambil mengeluh Irfan bersuara.

“Bingung? Kenapa?”

“Abah aku talipon”

“Abah kau talipon?..kenapa?” soal Tengku Danial hairan namun tak lama kemudian dia tersenyum. “hah!.. ni mesti paksa ko balik kampong.. entah-entah pasal kahwin.. betultak?”

“Tak pulak abah aku cakap tentang kahwin.. tapi macam lebih kurang tu je.. paksa-paksa sangat aku supaya balik kampong.. tu yang aku risau”

“Hah! Eloklah tu.. ko tu pun bukannya muda lagi Ir”

“Ko kata aku.. ko pun apa kurangnya D”

“Aku lain.. papa dan mama aku sporting” jawab Tengku Danial sambil tersenyum.

“Kalau sporting apasai ko tak duk sekali dengan mereka..?” sindir Irfan sambil mengangkat kening.

“Aku bukan tak nak duk sekali dengan mereka .. Cuma..”

“Cuma apa?”

“Cuma aku nak berlajar berdikari” sambung Tengku Danial sambil tergelak kecil.

“Banyaklah ko punya berdikari” perli Irfan sambil turut juga ketawa.

“Ketawa..ketawa juga Ir.. hah! Jadi ke ko balik kampong minggu ni?”

“Entahlah D.. ikutkan hati taknak.. tapi..”

“Baliklah Ir.. entah-entah ada perkara penting yang abah ko nak sampaikan”

“Tapi aku dah janji dengan Sherry”

“Dalam dunia ni Ir.. abah ko cuma sorang tu je.. tahu”
“Dengarlah nasihat aku ni Ir.. baliklah kampong.. “ tegur Tengku Danial bila melihat reaksi Irfan yang seperti tidak menyukai cara dia memihak kepada uncle Ikram.

“Boringlah.. bukannya ada apa pun kat sana”

“Sekurang-kurangnya ko ada juga kampong.. beruntung tahu tak? ko tengok aku ni.. memanjang kat kota.. lagi boring”

“Ko tu yang beruntung sebenarnya D.. dilahirkan dalam keluarga berada.. papa ko tu berkedudukan tinggi pulak”

“Ko tu pun apa kurangnya.. abah ko tu bukan calang-calang orang.. bekas Jurutera”

“Arghh.. sudahlah D.. bercakap dengan ko ni, serupa aku bercakap dengan abah aku pula.. lebih baik aku masuk tidur”

“Boleh pulak ko tidur Ir?” usik Tengku Danial sambil menarik semula komputer riba mengadapnya.

“Kalau tak boleh tidur nanti.. aku layan internetlah bro.. sambung chat” jawab Irfan tersengih sambil melangkah kaki menuju kemuka pintu.

Wednesday

Hati Emas 6

Sayu wajah Mia merenung wajah tua ibunya dengan penuh harapan dan pengertian. Namun sayangnya wajah itu seakan langsung tidak memperdulikannya sebaliknya bangun dari situ terus mencapai penyapu lidi dan menyapu daun-daun kering yang bertaburan.

“Ibu.. bolehlah ye” Mia turut bangun dari situ dan membontoti ibunya sambil merayu.

“Ibu” tersekat suaranya dari meneruskan kata-kata apabila ibu berpusing dan merenungnya tajam. Sejenak Mia mengeluh kecil. Termasuk hari ini sudah dua hari dia cuba memujuk namun belum menampakkan hasil. Ibu berterusan membisu. Reaksi sebegitu jelas memberikan jawapan bahawa ibu tetap tidak mengizinkan dia ke kota untuk menghadiri temuduga.

“Kamu ingat senangke hidup kat sana.. sewa rumah.. makan minum.. minyak kereta lagi.. semua tu duit tau” sambil menyapu ibu mula berleter membuatkan Mia kaku seketika. Ibu meleterinya seolah-olah dia akan menetap di sana, sedangkan dia hanya pergi untuk temuduga kerja.

“Hah.. Rizal tu macamana pulak?” sergah ibu mengejutkan Mia yang kaku di situ.

"Baru temudugalah bu"

"Kalau dapat" sergah ibu tegas.

“Kalau dapat, syukur alhamdulillah lah.." jawab Mia sambil tersengih, namun tak lama kerana kecut melihat jelingan tajam ibu. "Selepas Mia mendapat tempat tinggal yang selesa kita semua pindahlah ke sana” pantas Mia berkata bagi meredakan kemarahan ibu.

“Amboi! Senangnya kamu bercakap.. habis rumah ni? Ayam itik.. pokok-pokok buah ni siapa nak jaga?”

Pertanyaan dari ibu membuatkan Mia terpaku dan lidahnya kelu. “Ni baru nak pergi interview dah macam-macam... kalau betul-betul dapat macamanalah agaknya?” terdetik dalam hati Mia dengan sikap ibu yang memberi pelbagai alasan.

“Daripada kamu nak bersusah payah kerja kat sana.. lebih baik duduk kat kampong ni.. lagipun kita bukannya susah sangat.. hah! Duit pencen abah kamu tu cukup untuk menampung kita anak beranak” bebel ibu lagi membuatkan Mia mengeluh panjang. Memang benar sungutan ibu tentang kehidupan mereka yang sudah tidak sesusah dahulu kerana duit pencen abah sebagai guru sudah mencukupi untuk menampung kehidupan mereka tiga beranak ditambahi pula dengan hasil jualan telur-telur ayam dan buah-buahan... amat memadai... namun semua itu belum mampu menjamin masa depan dia dan Rizal. Lagipun sampai bila dia harus bergantung kepada ibu. Dia juga mempunyai impian sendiri. Ingin mempunyai kerjaya sendiri dan juga memiliki rumah. Namun sikap ibu membantutkan keinginan serta cita-cita yang terpendam.

Sejenak Mia memandang ibunya yang tekun meneruskan kerja. “Sampai bila Mia dan Rizal nak bergantung kepada ibu.. Mia pun ada cita-cita bu....”

“Cita-cita apa Mia? Tak ingat lagi macamana kamu di sindir sehingga terpaksa berhenti kerja.. kamu dah lupa?.. Hah! Itu baru depan mata ibu.. nanti kalau kat sana macamana?” senafas ibu berkata memotong cakapnya laju.

“Mia sedar siapa diri Mia bu.. Mia akan jaga nama baik keluarga.” Ujar Mia sayu lalu wajahnya ditundukkan.

"Ibu tahu Mia anak yang baik.. tapi bagaimana kalau orang bertanyakan tentang status Mia.. siapa ayah Rizal bagaimana?" soal ibu sambil menyentuh bahunya. Suara ibu kedengaran sebak.

"Kenapa Mia tak cari je Firdaus.. bagitau dia pasal Rizal.. sekurang-kurangnya biar orang tahu Rizal tu berayah"

Bagaikan tertusuk sembilu mendengar ibu membisikkan nama itu ke telinganya. Tiba-tiba saja dadanya bergetar hebat. Denyutan jantungnya juga sudah menjadi tidak menentu. Sejenak wajah ibu dipandang. Andai orang lainlah yang berkata-kata tentang itu sudah pasti lama dia melangkahkan kaki beredar, tetapi kerana yang bersuara itu adalah ibu yang melahirkannya Mia menahan dirinya dan bersabar.

"Tolong bu.. bukankah kita dah berbincang pasal tu.." ujar Mia tersekat-sekat suaranya menghalang ibu dari menyebut nama Firdaus terutama tentang kisah silam yang ingin sangat dia lupakan.

"Tapi kan Rizal pun anak dia.... dan..."

"Rizal anak Mia... cuma anak Mia"

"Ibu tahu cuma.. ibu risau kat sana nanti.. dengan status Mia.. dan sikap Mia yang suka membisu..apa kata orang.. ahhh..lebih baik Mia duduk kat sini sajalah" akhirnya ibu meluahkan apa yang tersirat dan terbuku dalam hati. Mia tersenyum kecil memandang wajah ibunya. Dia tahu ibu amat risau memikirkan seandainya dia bekerja di sana nanti... orang akan memperkatakan tentang dirinya yang punya anak satu.. apa statusnya.. dan pasti orang akan menyangka yang bukan-bukan lebih-lebih lagi dengan sikapnya yang suka membisu bila di soal tentang siapa ayah si Rizal.

"Ibu janganlah risau.. tahulah apa Mia nak buat"

“Kalau kamu tak pergi tak bolehke?”

“Alah.. makngah.. yang nak bersedih sangat ni kenapa?? Mia tu baru nak pergi temuduga.. bukannya tentu dapat keje tu” entah dari mana datangnya tiba-tiba Dila sepupunya mencelah....

“Baguslah sangatlah tu, sokong..sokong” balas ibu geram sambil menjeling memandang Dila. "Datang tak beri salam, terus mencelah" bebel ibu sambil mengangkat punggung untuk masuk ke dalam.

"Jalan elok-elok makngah" usik Dila sambil mengenyit mata pada Mia. “Macam lampu hijau je” bisik Dila kepada Mia.

“Agaknya... " Balas Mia menjungkitkan bahu.

"Rasanya bolehlah tu" sambil ketawa Dila menduga.

"Kalau betul boleh..janji tau.. kita pergi sama-sama” ujar Mia memandang Dila lama.

“Mestilah.. selepas tu kita boleh ronda-ronda di sana” jawab Dila gembira.

Monday

Hati Emas 5

Firdaus




“Macamana comel tak?”

Firdaus mengangguk.

“Ada macam rupa aku tak?”

Firdaus mengerling ke wajah sepupunya Borhan, sebelum beralih kepada bayi comel berada dalam pelukan Shila. “Emm.. adalah.. tang telinga” jawab Firdaus sambil tersenyum.

“Telinga je?”

Firdaus tergelak kecil melihat laku sepupunya yang kebudak-budakkan. “tapi baby kau memang comel” ujar Firdaus sambil mencuit pipi anak Borhan.

“Mestilah comel.. Aku sikit punya hensem.. kalau tidak Shila tak tergila-gilalah kat aku” seloroh Borhan sambil mengenyitkan matanya.

“Eh! tolong sikit.. siapa gila siapa ni” Shila bersuara membela diri sambil menahan geram dengan kata-kata suaminya.

Borhan tersengih memandang isterinya sebelum beralih semula kepada Firdaus. “Lagi-lagi apa yang serupa aku?” soal Borhan lagi sambil mengacah bayinya.

“Hmm.. telinga je lah yang lain-lain tu semua ikut rupa Shila” jawab Firdaus lalu tergelak kecil.

“Arrggh...” Borhan merengus kecil dan kemudian turut ketawa. Shila juga turut ketawa.

Sejenak mereka terdiam bila Baby Borhan sudah berbunyi.

“Tolong bang bawa Iqram ke dalam... hmm Firdaus saya masuk dulu ya” ujar Shila meminta diri untuk menyusu bayi di dalam bilik. Firdaus mengangguk kepala.

“Dah ada nama rupanya” ujar Firdaus sebaik saja Borhan kembali.

“Dah.. Shila yang pilih” jelas Borhan tanpa di pinta.

“Tak sangka ye sekejap je masa berlalu.. ko pun sekarang ni dah jadi ayah.. aku je dok macam ni lagi”

“Alah.. kau pun kalau tak bercerai dulu..entah-entah anak dah masuk dua”

Air wajah Firdaus berubah serta merta.

“Ops! Sorry!” ucap Borhan bila menyedari keterlanjurannya sebentar tadi.

Firdaus memaksa dirinya untuk senyum. Dia tahu Borhan bukannya sengaja berkata begitu. Tapi memang betul pun seandainya perkahwinannya masih bertahan sudah tentu sekurang-kurangnya seorang anak pasti ada.

“Kenapa kau tak nak kahwin lagi?” Borhan memberanikan diri bertanya. Sebenarnya dia bimbang dan kesian melihat Firdaus yang sepi tanpa teman. Kerisauannya bertempat kerana kalau dulu ke mana-mana mereka sering berdua namun setelah dia mendirikan rumah-tangga, masanya bersama Firdaus sudah terbatas.

“Entahlah Borhan” jawab Firdaus melepaskan keluhan.

“Kau serik?”

Soalan dari Borhan membuatkan Firdaus termenung panjang. Serikkah dia? Siapa yang tak nak berkahwin.. lebih-lebih lagi dirinya yang sudah pernah merasai alam berumah-tangga.. sikit sebanyak naluri kelelakiannya yang inginkan belaian pasti ada. Namun entah mengapa setiap kali dia berperasaan begitu, wajah Mia Areena akan muncul terbayang di ruang mata.. Perasaan bersalah yang menggunung tinggi membuatkan dia berazam takan memulakan penghidupan baru selagai Mia Areena tidak dia ketemu.

“Sampai bila kau nak hidup sendiri?”

“Sampai aku berjumpa dengan Mia kembali”

“Untuk apa?”

“Kemaafan... Aku ingin meminta maaf darinya...” jawab Firdaus perlahan.

“Tapi sudah empat tahun Fir”

“Aku tahu”

“Bagaimana kalau dia sudah berkahwin lain?”

“Aku tak kisah..”

“Tak kisah?”

“Ha ah.. macam aku kata tadi.. aku hanya nak minta maaf darinya.. itu saja”

“Selepas tu baru kau nak memulakan hidup baru?”

“Ya” Firdaus merenung tajam wajah Borhan bila mendengar kawannya itu ketawa. “Kenapa?”

“Bodohlah kau ni Fir.. dibuatnya kau masih tak jumpa dia juga dalam masa terdekat ni macamana? Kau nak membujang sampai ke tua?”

Firdaus diam seketika. “Aku tak naklah sembang pasal ni”

“Okey... okey“

Sejenak mereka diam.

“Eh! jemput minum air Fir” pelawa Borhan sambil menghulurkan secawan kopi kepada Firdaus.

“So macamana syarikat selepas Paklong serahkan sepenuhnya kepada kau?” Borhan bertanya mengubah tajuk perbualan mereka sebentar tadi.

“Mestilah okey” jawab Firdaus penuh keyakinan.

“Baguslah.. jangan lagi jadi macam dulu cukup”

“Yelah.. aku dah sedar sekarang”

“Hmm.. kau dah tahu pasal Maria?”

Firdaus menganggukkan kepala. Lalu membuat isyarat tangan supaya Borhan tidak terus memperkatakan hal itu. Kalau boleh dia tidak mahu dikaitkan lagi dengan wanita itu.

Sejenak Firdaus tersentak bila tiba-tiba Borhan memetik jari.
“Eh! Firdaus.. Kau ada kenal sesiapa tak yang memerlukan pekerjaan..?"

"Buat masa ni takdalah.. kenapa?" jawab Firdaus setelah berfikir sejenak.

"Bukan apa..kalau ada tak payah aku iklankan” soal Borhan seperti teringatkan sesuatu.

“Jawatan apa?”

“Setiausaha”

“Setiausaha siapa?”

“Siapa lagi? Akulah”

“Kau?”

Borhan mengangguk sambil tersenyum.

“Nak pakai sementara je lah” teka Firdaus memikirkan si Shila yang sedang berpantang ketika ini. Maklumlah suami isteri bekerja di bawah satu bumbung.

“Tak.. aku nak pakai tetap”

“Tetap? Shila kau nak letak kat mana?” soal Firdaus hairan.

“Dah cukuplah tu dia kerja... duk rumahlah pulak jaga anak..”

“Shila setuju ke?”

“Mestilah dia setuju.. kan aku ni suami dia” jawab Borhan sambil ketawa kecil. “Lagipun kat rumah tengok muka dia.. kat tempat keje pun sama.. tak bestlah” bisik Borhan mengundang tawa Firdaus.

“Boleh tahan jugak kau ya”

“Biasalah beb”

Sekali lagi mereka berdua ketawa.







Mia Areena


Seusai mematikan talian, Mia Areena menghampiri tempat pembaringan. Di usap-usap rambut Rizal seketika sebelum mencium ubun-ubun Rizal yang sedang nyenyak tidur . Wajah itu ditatap lama. Persis Firdaus! Di mana wajah itulah yang menjadikan dia tewas dalam kebencian yang terhimpun kerana biarpun sejauh mana dia cuba melarikan diri terasa seperti Firdaus semakin dekat dengannya. Sehinggakan kadang-kadang bila dia mencium Rizal bagaikan dia sedang mengucup Firdaus. Tatkala Rizal berada dalam pelukan terasa seolah-olah dirinya hangat dalam dakapan Firdaus.

Argghh.. Mia benci dengan dirinya sendiri. Mudah sekali dia jatuh cinta! Mengapa senang sungguh dia mempercayai lelaki itu sehingga seluruh jiwa dan raga serta kepercayaan diberikan malah baginya ketika itu Firdauslah segala-gala. Namun apa yang dia dapat? Akhirnya lafaz talak yang lelaki itu hadiahkan kepadanya. Hah! Satu pengorbanan yang sia-sia. Malu usah di kata. Seluruh jiran tetangga menyangka yang bukan-bukan kepada mereka sekeluarga akhirnya keputusan berpindah terpaksa dibuat. Lalu di sini dia dan keluarga berkelana.

Mia Areena memandang almari yang menempatkan buku-bukunya. Hajatnya untuk meneruskan pengajian tidak kesampaian. Biarpun selepas di ceraikan dia mempunyai ruang namun kehadiran Rizal membataskan pergerakkan di tambahkan lagi dengan masalah kewangan apatah lagi selepas abah meninggal dunia, dia dan ibu terpaksa membanting tulang mencari rezeki. Nasibnya baik tak lama kemudian diterima bekerja di sebuah syarikat di bandar. Tapi belum sampai 6 bulan dia bekerja dengan berat hati dia terpaksa meletak jawatan. Ini semua gara-gara sikap cemburu isteri majikannya yang tak bertempat memaksa dia mengambil keputusan itu. Salahkah berstatuskan ibu tunggal? Sangkanya wanita akan memahami wanita tapi sayangnya tanpa mengetahui duduk perkara sebenar masyarakat lebih suka menyalahkan status ibu tunggul tanpa usul periksa.

Argghh.. Sekali lagi Mia mengeluh. Lalu dia bangun menuju ke meja tulis. Dia menarik keluar dairi yang tersimpan kemas berkunci dalam laci. Helaian demi helaian diselak sebelum jari jemarinya menitip bicara. Titipannya terhenti seketika, pandangannya di halakan ke arah Rizal, satu-satunya harta yang Firdaus tinggalkan untuk dirinya. Masih jelas di ingatan bagaimana hinanya dirinya ketika itu merayu-rayu kepada Firdaus namun tiada langsung perasaan belas lelaki itu kepadanya biarpun berkali-kali dia menyatakan rela dimadukan Firdaus tetap mahu membuangnya. Ingatan yang mendatang membikin dadanya berombak tiba-tiba. Perasaan marah meluap-luap. Bencinya kepada Firdaus tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Semuanya bersarang dalam jiwa.

Mia menarik nafas seketika cuba menenangkan diri sendiri lalu dia menutup dairi dan bangkit menuju ke jendela. Perlahan-lahan jendela dibuka. Dingin angin malam langsung tak dapat menyejukkan dirinya yang sedang hangat di dalam. Sekali lagi Mia Areena menarik nafas dalam-dalam lalu menghembusnya perlahan-lahan. Matanya dipejamkan untuk mencari sedikit ketenangan. Lalu dia beristighfar agar perasaan marah yang membuak di dalam hilang. Pandangan matanya di hala ke langit merenung bintang-bintang yang bertaburan. Termenung sejenak Mia di disitu memikirkan arah tuju hidupnya. Sejenak dia teringatkan iklan yang terpapar di suratkhabar. Perlukah dia mencuba?

Thursday

Hati Emas 4

Majalah hiburan kepunyaan cucu Long Mah yang di tinggalkan di pangkin bawah pohon belimbing buluh kucapai. Aku membelek-belek setiap helaian. Hai! Remaja-remaja sekarang gemar sungguh dengan hiburan sehinggakan artis-artis dijadikan idola biarpun masih bersekolah. Pandanganku tiba-tiba tertumpu pada berita mengenai model terkenal yang bakal mengahwini seorang Datuk. Ku amati lama gambar itu, macam kenal tapi di mana aku pernah melihat wajah itu.

“Buat apa tu Mia?” sergah Dila sepupuku membuatkan aku melatah terkejut. Dila merupakan anak bongsu Maklong iaitu anak kepada kakak ibuku. Memandangkan cuma dialah satu-satunya sepupu aku yang belum berkahwin lagi dan kebetulan pula kami berdua sebaya itulah membuatkan hubungan kami berdua sangat rapat. “Oh! Mia baca majalah hiburan ya!” usik Dila terpandangkan majalah yang sedang aku pegang.

“Bukan Mia punyalah tapi Ati cucu Long Mah tertinggal kat sini, Mia cuma tengok-tengok je” pantas aku menjawab sambil meletak kembali majalah tersebut.

“Tengok-tengok ka atau baca-baca” tersengih-sengih wajah Dila mengajuk. “Kalau baca pun tak salah.. eh! ada apa-apa citer menarik ke pasai artis-artis masakini?” sambung Dila lagi sambil menghimpit tempat dudukku.

“Nah ambik.. malas Mia nak citer.. bacalah sendiri” ujarku sambil menghulur majalah tersebut kepada Dila.

“Tak maulah.. aku bukannya minat sangat baca semua ni.. tapi kalau ada orang tolong bacakan, aku sanggup mendengar” sekali lagi wajah yang sedang tersengih-sengih itu bersuara.

“Cantiknya perangai”

Lalu kami sama-sama ketawa. Namun tak lama kemudian jeritan ibu dari atas rumah mematikan tawa kami.

“Bertuah punya budak.. boleh dok gelak-gelak kat situ.. cuba kamu tengok si Rizal tu tengah buat apa.. “ laung ibu yang kini sedang bercekak pinggang di muka pintu. Pantas aku memalingkan wajah mencari-cari kelibat Rizal.

“Ya Allah” cepat-cepat aku berlari mendapatkan Rizal yang sedang meramas seekor anak ayam peliharaan ibu. Lantas aku melepaskan anak ayam tersebut dari genggaman Rizal dan mendukung anakku sambil berlari-lari anak menjauhkan diri dari ibu ayam yang seolah-olah hendak mengejar serta menyerang kami.

“Betullah ko ni memang cantik perangai.” Marahku bila melihat Dila yang sedang ketawa berdekah-dekah.

“Aku bukannya apa Mia.. lucu tengok cara kau berlari mendapatkan Rizal.. nak kata lompat jauh pun tidak.. lompat tinggi pun tak” jawab Dila berselang-seli dengan tawa meletus di bibir.

Baru saja aku hendak membuka mulut memarahi Dila, aku terlebih dahulu di marahi oleh ibu yang sedar-sedar saja sudah berdiri di hadapan kami.

“Habis tangan tu penuh dengan bulu ayam.. baju pun kotor” leter ibu sambil menjelingku tajam. “Kau ni pun satu Mia...”

“Memang satu pun” jawabku perlahan, namun telah didengari oleh ibu.

“Menjawab.. menjawab” membuatkan aku tersengih-sengih seketika.

“Makngah” Dila menegur ibuku berbahasa.

Sejenak ibu memandang Dila dan menanyakan tentang Maklong sebelum beralih semula kepadaku.

“Lain kali jangan dok ralit lagi.. nak sembang pun mata tu tengok-tengoklah sama Rizal.. hilangka.. apaka nanti .. baru padan muka” bebel ibu sambil menarik Rizal ke dalam dakapannya dan mendukung membawa masuk ke dalam.

“Marah betul Makngah ya?”

“Dah itu cucu kesayangan dia” jelasku sambil menghantar langkah ibu hingga hilang ke dalam rumah.

“Hampir tiga tahunkan usia si Rizal?”

“Ha ah” jawabku tenang sambil mengukir senyuman mengenangkan saat-saat indah membesarkan Rizal.

“Si Firdaus tahu tentang Rizal?”

Soalan spontan dari Dila mematikan senyumanku. Aku memandang wajah Dila lama. Cuba mencari maksud pertanyaan itu.

“Aku tak rasa dia berminat nak tahu pasal Rizal” jawabku perlahan sambil membetul-betulkan tudung di kepala yang sudah tidak betul kedudukan kerana di tiup angin. Sekilas aku memandang Dila yang seakan terkejut mendengar jawapan yang aku lafazkan. “lagipun kami dah bercerai.. tak payahlah diungkit-ungkit lagi” aku menjelaskan kepada Dila untuk menghilangkan kekeliruan lebih-lebih lagi bila teringatkan kembali kata-kata Firdaus yang membayangkan lelaki itu sudah tidak ingin mengetahui apa-apa berkenaan dan berkaitan diriku.

“Mungkin sebab dia tidak tahu kewujudan Rizal” Dila masih lagi mengasakku dengan soalan. Sejenak membuatkan aku tersentak. "Kalau dia tahu mungkin penceraian tak akan berlaku lebih-lebih lagi kerana kau hamil ketika itu.” Sekilas aku memandang Dila yang menyambung kembali hujahnya. Serba salah sebentar aku mendengar butir bicara dari Dila. Aku memandang Dila seketika, namun tak sepatutnya aku hamburkan rasa marah kepadanya kerana ketika kejadian pahit hidupku berlaku, Dila masih lagi di pusat pengajian menyambung pelajaran sedangkan aku selepas tamat diploma terus bernikah.

Aku menarik nafas seketika. Lalu satu demi satu kisah hidupku di perdengarkan kepada Dila.

“Ohh..” Dila merenungku lama, sejenak dia memelukku. “tak sangka Mia walaupun kita sebaya.. hidup kau penuh dengan ranjau.. sepatutnya dulu kau sambung belajar bersama-sama aku tapi..”

“Sudahlah Dila.. abah pun dah tak ada.. usahlah di ungkit kisah lama”

“So, sekarang apa rancangan kau Mia?”

“Aku nak cari kerja”